ADS 468x60

Slidershow

  • STARP yang indah

    Inilah sekolah kecintaan kami dilihat dari padang. Sebenarnya keseluruhan blok melebihi sepuluh buah dan kedudukan yang berbukit mencetuskan fenomena 'sihat sepanjang hari' kerana kami terpaksa berjalan mungkin melebihi 5km sehari berulang-alik dari satu blok ke satu blok.

  • Tradisi Merai Tetamu

    Pasukan kompang sekolah memang terkenal sebagai pasukan yang mantap ketika menyambut sesuatu perayaan atau meraikan kehadiran tetamu.

  • Gedung Peradaban

    Andainya kau inginkan dunia hendaklah berilmu, andainya kau inginkan akhirat hendaklah berilmu. Bacalah...

Tuesday, 5 April 2011

Bicara Buku:Laskar Pelangi

Mulai hari ini , di ruangan khas ini kita akan berbicara tentang buku-buku pilihan. kebanyakannya ada di pusat sumber sekolah kita.Ada juga buku dari pilihan moderator yang saya kira bermanfaat dan bagus untuk dikongsikan.

Judul:Laskar Pelangi
Harga: RM 28.00 / RM 31.00
ISBN-13: -78-983-3892-00-6
ISBN-10: 10: 983-3892-00-0
Tarikh Terbit: 23 Feb 2007
Jumlah Muka Surat : 464
Kategori: Novel Dewasa, Novel Dewasa Umum, Novel Sosio Budaya
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd

SINOPSIS____________________________________________________________

Sebuah kisah keajaiban masa kecil 11 anggota Laskar Pelangi yang luar biasa dan menghiburkan. Pengembaraan anak-anak Melayu Belitong yang menyentuh dan sukar dilupakan. Kecintaan terhadap pendidikan, keunggulan nilai persahabatan dalam menempuh kesukaran hidup dan kemurnian prinsip menghiasi perjalanan Laskar Pelangi. Novel ini dipersembahkan untuk mereka yang meyakini the magic of childhood memories, dan untuk mereka yang masih percaya akan adanya pintu keajaiban lain untuk mengubah dunia pendidikan.


TENTANG PENULIS___________________________________________________

Di Indonesia, tidak mudah menulis dua novel berturut-turut dan kedua-duanya best seller, apalagi bagi penulis bukan berlatar belakang sastera dan kali pertama manulis. Lebih gawat lagi apabila novel itu tidak selari dengan trend di pasaran. Tetapi hal itu dapat dibuktikan oleh Andrea Hirata. Melalui dua sequel Laskar Pelangi dan Sang Pemimpi, beliau berjaya menempatkan dirinya sebagai salah seorang penulis muda Indonesia yang dikagumi. 

Andrea Hirata, Out of the Blue, tidak pernah dikenali, tidak pernah menulis walaupun sepotong cerpen, tiba-tiba menulis dan muncul dengan tetralogi. Sesuatu yang cukup ajaib bagi penulis baru.
Dengan gaya realis bertabur metafora yang di sebut Prof. Sapardi Damono, Ketua Jabatan Sastera, Universiti Indonesia, sebagai metafora yang berani, tidak biasa, tidak terduga, kadang-kala ngawur namun memikat.  Daya penarik yang menonjol daripada karya-karya Andrea juga terletak pada kemungkinan yang amat luas dari eksplorasinya terhadap karakter dan peristiwa. Setiap perenggan seakan-akan dapat berkembang menjadi sebuah cerpen, dan setiap bab mengandungi letupan intelek dan kisah romantik supaya dapat tumbuh menjadi buku tersendiri. Andrea tidak pernah kekeringan idea dan tidak pernah kehilangan tempat untuk melihat suatu fenomena dari satu sudut fenomena dari satu sudut yang tidak pernah dilihat orang lain.


Novel pertama Andrea Hirata, Laskar Pelangi telah berkembang bukan hanya sebagai bacaan sastera, namun sebagai rujukan ilmiah. Novel ini diterbitkan pada September 2005 dan ia banyak dirujuk untuk penulisan skrip, tesis, dan telah dibentang dalam seminar oleh pihak berkuasa Indonesia untuk menyusun cadangan kebajikan pendidikan. Adapun dalam novel keduanya, Sang Pemimpi, diterbitkan pada Julai 2006, Andrea menarikan imaginasi dan melantunkan stambul mimpi-mimpi dua anak Melayu kampung iaitu Ikal dan Arai. Manakala Novel Edensor merupakan novel ketiga dari tetralogi Laskar Pelangi diterbitkan pada Mei 2007. 

Novel ini menceritakan keberanian bermimpi, kekuatan cinta, pencarian diri sendiri, dan penaklukan yang gagah berani. Novel keempat atau terakhir dalam rangkaian empat karya tetralogi Laskar pelangi ini berjudul Maryamah Karpov yang bakal diterbitkan. Dalam Maryamah Karpov, dengan sasteranya yang khas, ironi yang melucukan, dan nilai intelek yang meluap-luap namun membumi, Andrea Hirata bercerita tentang perempuan dari satu sudut yang amat jarang ditonjolkan oleh penulis Indonesia sekarang ini.
Membaca keempat-empat novel tetralogi Laskar Pelangi, kita tidak hanya menikmati epik yang bermutu,  tetapi juga menyaksikan bagaimana seorang penulis berbakat berevolusi daripada satu karya kepada karya lainnya untuk menuju master piece nya. 

Andrea Hirata Seman adalah si Ikal pelajar sekolah Muhammadiyah yang diceritakan dalam buku Laskar Pelangi. Andrea Hirata dilahirkan di Belitong. Beliau berkelulusan ekonomi dari Universiti Indonesia. Walaupun mengambil jurusan ekonomi, namun beliau juga amat menggemari sains, iaitu fizik, kimia, biologi, astronomi, dan juga saja sastera. Mendapat biasiswa dari Universiti Eropah bagi menyambung pengajian di peringkat master of science di Université de Paris, Sorbonne, Perancis, dan Sheffield Hallam University, United Kingdom. Tesis Andrea dalam bidang ekonomi telekomunikasi mendapat penghargaan dari pihak universiti itu dan beliau lulus cum laude.

Teori itu telah diadaptasi ke dalam bahasa Indonesia dan merupakan buku teori ekonomi telekomunikasi pertama ditulis oleh orang Indonesia. Buku ini juga dijadikan rujukan ilmiah di Indonesia.  Andrea lebih dikenali sebagai seorang backpacker dan ahli akademik.
Sekarang Andrea menetap di Bandung dan masih bekerja di ibu pejabat PT Telkom. Namun, beliau sedang mengejar impiannya untuk tinggal di Kye Gompa, desa tertinggi di dunia terletak di Himalaya.  Selain Laskar Pelangi, beliau juga menghasilkan tetralogi Laskar Pelangi berjudul Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah Karpov.  Website beliau adalah www.sastrabelitong.multiply.com.


ULASAN PEMBACA________________________________________________________

Ulasan isi kandungan/jalan cerita

Mengimbau kenangan zaman persekolahan adalah saat-saat manis yang tidak mungkin luput dalam ingatan. Detik-detik mengenali erti persahabatan, keseronokan menjalani aktiviti sekolah dan mengharungi segala kepayahan untuk terus mendapat ilmu semuanya terangkum dalam buku Laskar Pelangi. Buku ini banyak memaparkan insiden suka duka lucu dan pelbagai lagi ragam pelajar mengharungi pelajaran di sebuah sekolah yang serba kekurangan.

  Buku ini berkisar mengenai 11 orang pelajar sekolah Muhammadiyah di Belitong. Sebuah sekolah yang hanya mampu menerima pelajar-pelajar daripada golongan miskin. Disebalik kesusahan hidup, mereka tetap berjuang untuk terus menuntut ilmu tanpa mengenal erti jemu. Penulis juga menonjolkan karakter-karakter pelajar yang mempunyai bakat istimewa yang nyata menunjukkan keunikan tersendiri. Mahar, yang penuh dengan idea-idea segar dan kreatif menghasilkan persembahan seni. Daya imaginasinya yang tinggi membolehkan sekolah Muhammadiyah berjaya memperolehi Penampilan Seni Terbaik pada satu karnival. Lintang, seorang genius yang begitu hebat dalam Matematik. Namun kemiskinan kehidupannya menjadi penghalang untuk terus belajar diperingkat yang lebih tinggi seterusnya mengembangkan bakat kepintaran. Manakala sembilan lagi pelajar lain juga ditonjolkan mereka yang mempunyai keazaman, cita-cita dan kisah tersendiri.

  Penulis juga memberikan penghargaan kepada Pak Harpan dan Muslimah Hafsari atau Bu Mus selaku guru sekolah Muhammadiyah yang sabar melayani karenah pelajar serta menunjukkan pengorbanan yang tinggi bagi mengajar anak-anak ini ilmu pengetahuan yang menjadi panduan hidup mereka kelak. Kata-kata keramat Pak Harpan selaku guru besar iaitu, hiduplah dengan sebanyak-banyaknya memberi bukan menerima memberi dorongan kepada kehidupan anak-anak untuk terus berjaya dalam hidup. Bu Mus pula menggelar anak-anak ini dengan nama Laskar Pelangi kerana kegemaran anak-anak ini merenung pelangi di kaki langit.
    
Buku ini amat menarik dan bagus untuk dibaca. Banyak pengajaran yang boleh diambil sebagai pedoman dan semangat untuk terus berjaya serta mengenali erti perjuangan. Kesusahan bukan penghalang untuk mendapatkan ilmu. Itu yang diungkapkan oleh anak-anak Laskar Pelangi.
Haziq Ruslan • 29 Jul 2010

Friday, 1 April 2011

Dari sebuah Idea

1 April 2011

Hari ini semua guru unit perpustakaan dan media bermesyuarat untuk memutuskan beberapa perkara berkaitan program dan pembangunan melibatkan PSS. Antara idea yang dilontarkan termasuklah projek untuk mewar-warkan PSS di laman maya, yang kandungannya nanti bertujuan memberi hebahan kepada semua warga sekolah dan pembaca di seluruh DUNIA!.

Pn. Ganga selaku `bos` kami mencadangkan hebahan ini di website, tetapi saya secara peribadi lebih sukakan blog kerana beberapa kelebihan. Saya rasa yang paling saya suka kerana jika kita memuatnaik gambar, pilihan untuk melihat kepelbagaian aktiviti lebih jelas dan besar berbanding gambar di website yang terpaksa di`compress`kan.

Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada berapa banyak sumbangan berita yang tiba, lebih-lebih lagi `masa senggang` yang dimiliki oleh moderator.Maklumlah, sebagai moderator, saya juga punya tugas hakiki untuk dilunasi setiap hari. Saya bermohon kepada Allah agar diberi kekuatan dan kesempatan yang banyak untuk mengkhabarkan hebahan tentang PSS dan sekolah juga.  Walaupun tajuk blog ini Pusat Sumber Sekolah yang memberi konotasi `perpustakaan`, saya kira apa saja perkara bermanfaat boleh kita kongsikan bersama agar kita tidak menyempitkan skop peranan perpustakaan itu yang selama ini hanya sinonim dengan buku sahaja.

akhirul kalam, jangan malu dan segan, hubungi saya untuk apa saja persoalan anda. semoga kita bergerak laju seiring ledakan maklumat yang kini hanya di hujung jari.


selamat berfikir, menulis, membaca.

-moderator-

Salam Pertemuan

Semoga anda, warga sekolah mendapat manfaat daripada blog ini.Anda semua boleh menjadi penyumbang maklumat. Untuk tujuan itu, sila hubungi moderator (Pn. Norjana Idris) untuk perbincangan lanjut. Hanya topik yang memberi manfaat sahaja akan diberi kelulusan siaran.